31 December 2013

Batman And Life As We Know It. 2013 Closing Curtains.


Salam semua.

Ini barangkali post panjang aku yang terakhir untuk tahun 2013 ini.

Apa yang aku dapat summerize daripada kita semua sepanjang tahun ini? Atau lebih senang apa yang aku dapat lihat daripada hidup ini dari aku lahir sehingga ke hari ini. Hmm.. kalau aku nak berceramah aku tak berapa nak reti tapi mungkin aku boleh olah daripada filem yang aku sangat minati. Teruskan membaca dan harap korang akan faham apa yang aku cuba sampaikan.

Aku sangat meminati Batman. Bagi aku beliau merupakan satu watak superhero yang paling realistik berbanding watak superhero yang lain. Malah kadang-kadang pasal Batman ni boleh buat gaduh. Kalau tak percaya, tanya wife aku. Haha.

Dalam Batman Begins, kita dapat pelajari bahawa gila kuasa, korupsi dan politikus yang rosak akan memakan manusia dari dalam. Yang kaya akan menjadi semakin kaya. Yang miskin akan menjadi semakin miskin. Keadilan boleh dibeli dengan wang dan kegembiraan manusia adalah suatu mitos dan wayang bagi menutupi kesengsaraan yang lain di samping menghalalkan dosa. Ramai yang inginkan keamanan dan keadilan. Namun, cara atau interpretasi keamanan itu barangkali berbeza. Sepertimana sifu kepada Batman, Ras al Ghul yang percaya bahawa untuk menentang korupsi, satu bandar Gotham harus hidup dalam ketakutan dan berbunuhan sesama sendiri untuk 'membersihkan' kembali keadaan dan start semuanya baru. Tidak bagi Batman yang berpendapat bahawa manusia memerlukan suatu simbol dan persona keadilan yang tidak orang ketahui. Suatu simbol yang nyata di mana manusia lebih takutkan kepada dunia berbanding hukuman neraka di akhirat kelak. Sepertimana kita semua, yang lebih gentar terhadap kesengsaraan dunia berbanding mengikut jalan yang telah ditentukan oleh yang Maha-Esa. Dan akhirnya, perbalahan pendapat mengenai "keamanan dan keadilan" ini disudahi dengan peperangan di atas sebab 'perbezaan pendapat' walaupun objektifnya sama. Manusia juga mempunyai trauma dan ketakutan tersendiri setiap individu, namun jika kita berjaya hadapinya, kita mampu melihat satu perspektif yang lain, yang lebih jitu dan lebih cerah berbanding tidak mengetahui apa-apa. Seperti quote ahli falsafah, "Kita adalah musuh terhadap apa yang kita tidak tahu". Jelas terbukti dalam sosiologi manusia yang kita lebih cenderung untuk takut terhadap perkara yang telah difitnahkan dan di war-warkan tanpa usul periksa. Menjadikan kita satu umat yang sentiasa dalam ketakutan. Ketakutan yang kita sendiri tidak tahu.

Dalam The Dark Knight (sekuel pertama filem ini), kita dapat pelajari bahawa semua manusia adalah sama. Tiada seorang pun yang perfect dan tiada seorang pun dapat lari daripada melakukan kesilapan. Sepertimana Joker mampu menukarkan seorang ikon keadilan rakyat iaitu Harvey Dent, seorang pendakwa raya untuk berubah menjadi jahat. Daripada seorang yang memartabatkan pejuangan rakyat kepada seorang berhati binatang. Kerana kita semua manusia. Kita semua punyai malaikat dan juga syaitan di dalam diri kita yang kita sendiri tentukan karekter mana yang kita ikuti. Walaubagaimana pun kita cuba kekal menjadi baik, namun kita tidak dapat terlepas daripada melakukan atau serong ke arah kejahatan. Di samping itu, Joker juga mengajar kita bahawa jika ingin melakukan sesuatu, lakukan demi kepuasan hati. Bukan kerana wang. Kerana jika kita melakukan kerana wang, maka keikhlasan itu tidak akan terjadi. Seperti juga manusia sekarang yang kononnya seorang penderma tetapi ingin sekali media paparkan namanya besar-besar di merata tempat. Seperti juga orang-orang yang menceritakan kerja-kerja membantu secara ikhlas mereka kepada semua orang. Semuanya menimbulkan riak. Semuanya fake belaka. Dan akhirnya, semua kerja-kerja itu menjadi suatu cacian pula. Dan dalam filem ini juga, kita diajar supaya jangan melihat atau menilai orang melalui statusnya, pemakaiannya, pekerjaannya dan wajahnya. Ini jelas terbukti dimana dalam satu eksperimen yang dijalankan oleh Joker yang mengasingkan antara banduan dan orang awam biasa di dalam 2 buah kapal berlainan mempunyai remote bom bagi meletupkan kapal yang lain. Banduan mampu saja meletupkan kapal yang satu lagi namun mereka tidak berbuat demikian. Mengapa? Kerana kebaikan di dalam hati manusia. Sejahat-jahat mana pun mereka, masih mempunyai harapan dan 'malaikat' yang sucikan keperibadian mereka.

Dan dalam sekuel terakhir Batman buat masa ini iaitu The Dark Knight Rises, kita mempelajari bahawa jika suatu perjuangan itu diperjuangkan dengan sepenuh hati, maka pastinya terdapat legasi dalam perjuangan itu. Seperti bayangan Ras al Ghul yang menjelma dikala Bruce Wayne mencari jawapan terhadap persoalan yang bermain diminda mengenai kemusnahan yang akan dilakukan oleh Bane. Di dalam filem ini juga, erti sebuah percintaan dapat dilihat di mana cinta itu tidak semestinya bersatu sepertimana Bane menyintai anak Ras al Ghul iaitu Talia atau nama Gothamnya, Miranda Tate. Cinta Bane terhadap Talia begitu mendalam sehingga sanggup korbankan nyawa beliau sendiri di dalam melengkapkan misi yang telah diperjuangkan oleh Ras al Ghul walaupun bapa kepada kekasihnya itu tidak menerima beliau. Kita juga pelajari bahawa kemarahan dan baran tidak menjadikan seseorang itu kuat. Malah akan menjadikan mereka lebih lemah. Ia akan membuatkan manusia lebih cenderung untuk gagal mengawal diri dan keadaan serta mendedahkan kelemahan yang ada pada diri sendiri. Insiden ini boleh dilihat semasa Bane menewaskan Batman dalam pertembungan pertama mereka. Orang yang tidak merasai takut juga adalah golongan lemah. Mereka merasakan bahawa 'tidak takut' itu memberanikan mereka tetapi ternyata ia adalah suatu kesilapan. Ketakutan adalah suatu motivasi dan pendorong dalam diri manusia untuk maju kehadapan. Takut akan kematian. Takut akan kegagalan. Miranda Tate membuktikannya dengan membuat 'lompatan maut' di dalam penjara tanpa menggunakan tali sebagai 'insuran' dalam usaha beliau melarikan diri. Di samping itu, kita boleh pelajari bahawa manusia sanggup untuk melakukan apa saja untuk sesuatu yang dapat membersihkan diri mereka daripada kesusahan walaupun terpaksa mengkhianati. Seperti Catwoman yang khianat terhadap Batman dalam melepaskan diri beliau sendiri. Di dalam filem ini, Bane cuba menunjukkan sesuatu yang trigger pemikiran kita semua di mana beliau memberikan kota Gotham ini kepada rakyat. Kuasa kepada rakyat di dalam satu sandiwara sebenar beliau ingin memusnahkan kota Gotham. Manusia sangka bahawa jika kuasa diberikan kepada rakyat tanpa adanya kerajaan semuanya akan baik-baik belaka. Tetapi tidak. Kota Gotham akhirnya huru-hara, kacau-bilau dan sebagainya. Keadilan juga tidak mampu ditegakkan dan akhirnya rakyat memusuhi satu sama lain. Bane juga mencanangkan suatu 'revolusi' kepada rakyat tanpa mereka sedari bom nuklear yang telah di setkan tetap juga akan meletup. Bayangkan jika kehidupan kita di dalam dunia ini juga sama. Apabila korupsi dah semakin berleluasa, orang semakin menjauhkan diri dari jalan Sang Pencipta, makan "Kiamat" itu akan muncul untuk menghentikan segala korupsi dan huru-hara manusia. Tidak berguna lagi revolusi atau peralihan kuasa yang ada. Tidak guna lagi ke semuanya. Jadi, persoalannya sekarang mampukah kita halang penindasan manusia yang ada sekarang dalam mengembalikan jati diri yang baik dalam setiap insan supaya tiada lagi orang yang berduka. Tiada lagi yang ditindas. Tiada lagi ketidak adilan. Dan walaubagaimana pun, lambat laun, sama ada kita sempat atau tidak..... kejadian "nuklear" itu tetap juga akan meletup.

So... Thank you Christoper Nolan, Christian Bale dan semua yang menjayakan filem trilogy Batman ini. Banyak yang telah aku pelajari. Yang pasti, aku barangkali tidak akan mendapat moral-moral begini dalam filem Iron Man atau Superman.

Salam Tahun Baru #2014 semua!!


Ditulis oleh:

Kufaz N. ; 31 December 2013.

No comments:

Let's Interact!

me>