25 August 2014
Hujan Bukan Sekadar Mutiara
Nak tau tak apa yang seronok apabila turunnya hujan? Ye.. ramai yang akan cakap, tidur lagi best bila suasana hujan yang dingin.. Tapi bagi aku lain pula. Aku lebih suka jika dalam suasana hujan, tengah free tiada kerja nak dibuat dan dalam keadaan santai, aku akan bancuh secawan kopi dan duduk di tepi tingkap.
Sambil melewati setiap titisan hujan yang turun, aku memandang lebih jauh ke dalam kehidupan aku sendiri. Bunyi setiap titis hujan yang jatuh menenangkan. Kedinginan yang bersulam kesuaman haba tanah yang naik ke atas langit sungguh mendamaikan. Di saat itulah baru aku sedar, kadang-kala kita kena ambil kira kehidupan kita walau sekecil mana sekali pun dan pastikannya berbaloi.
Di saat itu juga aku teringatkan masa-masa yang telah berlalu. Bagaimana aku menangis, marah, gembira dan kecewa di dalam kehidupan yang sementara ini. Aku merenung jauh di dalam sanubari ke mana arahnya diri aku nanti. Di masa hadapan, apakah yang terjadi kepada diri aku ini? Apakah aku akan berjaya? Apakah akan tersungkur? Memikirkan masa depan pastinya akan meninggalkan tanda soal yang sangat besar kerana kita semuanya insan. Tidak akan tahu apa yang akan terjadi nanti.
Di tepi tingkap melihat hujan juga membawa aku kembali ke zaman kanak-kanak dan remaja.
Sungguh cepat masa itu berlalu. Terasa macam baru semalam aku dan ibubapaku hantar ke sekolah. Masih lagi terasa setiap pukul 7.30 pagi loceng pertama sekolah akan berbunyi menandakan semua murid harus mula bergerak ke tarmac sekolah sebelum perhimpunan dimulakan. Tangan ini masih menggigil takutkan cikgu akan memarahi aku sekiranya kerja sekolah tidak siap.
Masih lagi berlegar dalam kepala bagaimana perasaan pertama kali jatuh hati kepada pelajar perempuan kelas sebelah. Bagaimana seronoknya hantar surat melalui "posmen" yang boleh dipercayai. Perasaan pertama kali berjumpa di balkoni sekolah dan mula berkenalan dengan lebih lanjut. Ahh.. ia sesuatu perasaan yang suci. Sesucinya diri ini yang tidak pernah alami perkara ini sebelumnya dan mengetahui bahawa terdapat pelbagai lagi cabaran yang akan dihadapi nanti. Dan perasaan menghadapi cabaran putus cinta sehingga kini masih terasa sakitnya. Yang sedikit sebanyak mengubah diri ini menjadi lebih kuat.
Sesekali angin yang lembut membawa tempias hujan yang jatuh ke atas bumbung. Angin itu lembut menghembus muka ku dengan nyaman dan damai. Aku terasa usapan tangan ibuku di ubun-ubun sewaktu aku demam dan sakit suatu ketika dahulu. Betapa mulianya seorang ibu yang mengasihi anaknya. Yang sanggup tidak tidur untuk menjaga kita. Yang menangis apabila kita menangis. Yang gembira pabila kita ketawa. Tiada cinta antara manusia yang dapat menandingi cintanya seorang ibu terhadap anak-anaknya. Cinta itu tiada gantinya. Cinta itu sungguh murni. Cinta itu dianugerahkan satu.
Sambil menghirup air kopi yang panas itu, kehangatan air itu masuk ke dalam tubuh ini menentang suasana sejuk yang bermain di luar. Ia mengingatkan aku betapa selama perjalanan hidup ini, pelbagai cabaran telah aku lalui. Segala macam dugaan dan ujian telah diturunkan oleh yang Maha-Esa terhadap diriku sebagai bukti cintanya kepada hambanya yang lemah ini. Banyak dugaannya membuatkan aku terjatuh. Membuatkan aku tersungkur. Membuatkan aku hilang arah. Namun akhirnya, Dia lah juga yang menyelamatkan aku. Jika tiada kasih sayang-Nya, mana mungkin aku masih menikmati kehidupan yang aku ada ini.
Di situ juga aku memikirkan bagaimana aku ingin corakkan perjalanan aku seterusnya. Di hati ini mempunyai pelbagai impian dan azam... sebagai manusia biasa sememangnya segala azam dan impian itu adalah ke arah kebaikkan. Namun... siapa kita untuk menentukan masa depan? Siapa kita untuk menyangkal ketentuan?
Apa yang kita boleh lakukan adalah tawakkal. Kerana tiada daya upaya kita selain berusaha dapat mengubah hala tuju kita.
Tanpa ku sedari... hujan pun berhenti. Kini sinar mentari kembali. Menyeru untuk bangkit dan lakukan apa dihajati.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment