09 September 2014

Realiti TV. Untuk Apa? Jika Astro itu aku yang punya...


Ada beberapa benda yang buat aku terfikir sejenak sejauh mana perjalanan dalam perkembangan modal insan di kalangan generasi kini. Gejala sosial semakin meningkat. Gaya hidup para belia kini terarah ke Barat dan malah akhlak, adab susila yang terpelihara semakin menipis sehingga pudar warnanya.

Sewaktu ketika dahulu, dunia di penuhi dengan prodigy-prodigy yang membuka mata kita seluas-luasnya. Dahulu kita dianugerahi dengan kelahiran para genius dalam bidang matematik, sains dan juga falsafah. Ke mana hilangnya semua itu?

Sewaktu ketika dahulu, negara kita dilanda demam yang cukup kuat apabila Akedemi Fantasia yang pertama keluar di kaca tv. Buat julung-julung kalinya, sebuah realiti TV berkumandang di sebuah stesen penyiaran media negara. Pihak syarikat telco mendapat keuntungan berjuta-juta di atas "undian" para penggemar rancangan berkenaan yang penuh dengan emosi dan drama. Ia ibarat jack pot ketika itu.

Selepas itu, berduyun-duyunlah rancangan realiti TV yang lain yang melahirkan para penghibur yang mengatakan bahawa ia merupakan sesuatu di dalam darah mereka sejak azali lagi untuk berada di dalam industri berkenaan. Kini selepas lebih sedekad, rancangan AF masih lagi diteruskan dengan pelajar yang baru serta pengajar yang berstatus bintang dalam melahirkan para penghibur yang berkualiti dan baik.

Semua orang entitle kepada pendapat mereka sendiri dan aku menggunakan hak aku ini untuk bersuara.

Bukan aku ban realiti TV sedemikian sebenarnya. Bukan aku membenci. Bukan aku mengeji. Tetapi pada pendapat aku, negara kita sudah cukup melahirkan para penghibur. Sebolehnya, setiap bulan atau minggu kita dikenalkan dengan pelbagai artis-artis baru yang muncul. Lagi-lagi dengan kuasa internet, ramai artis muncul melalui Youtube, Blog, Facebook dan sebagainya. Persoalannya sekarang, apakah kita masih tidak cukup artis di negara ini? Apakah sumbangan artis-artis kepada negara? Apakah moral yang ditunjukkan kepada para masyarakat di negara ini melalui imej seseorang artis?

Bila aku nak mengkritik, aku lebih gemar untuk mencerminkan diri aku sendiri dahulu apakah sumbangan aku terhadap negara. Apa yang aku lakukan? Hmm. Secara jujur, tidak banyak aku lakukan selain membayar cukai dan tunduk dengan kenaikan harga barang. Tetapi, aku rasa sebagai sedikit sumbangan aku terhadap pembangunan sahsiah para generasi yang bakal menggantikan pemimpin kita di masa hadapan, aku ingin memberi cadangan.

Pada hemat aku, cukup-cukup sudahlah kita komersialkan bakat seni ini. Bukan menghapuskan tetapi biarlah kita bangkitkan satu arus baru dalam membina intelektual para belia lagi. Biarlah kita melahirkan lebih banyak ilmuwan dan ahli falsafah berbanding warga yang boleh menyanyi dan menari lagi.

Jika Astro itu aku yang punya, aku barangkali akan mula slow down realiti TV yang melahirkan artis. Aku akan memperkenalkan realiti TV juga tetapi dalam mencari warga kreatif dalam seni bina, kejuruteraan dan sebagainya. Mungkin juga instead memilih 20 orang pelajar untuk duduk dalam asrama diaturkan kelas-kelas nyanyi, theater dan persembahan, aku akan tukarkan kepada 20 orang pelajar yang tinggal di asrama melakukan aktiviti dalam industri perubatan bagi mencari doktor-doktor yang berkualiti tinggi.

Aku akan memperkenalkan satu rancangan di mana sekumpulan belia dibawa tinggal di dalam hutan dan beri mereka pelbagai cabaran yang menguji kreativiti mereka serta kemahiran binaan mereka supaya akhirnya salah seorangnya dipilih untuk berkerja di syarikat kejuruteraan atau seni bina yang besar.

Biarlah kita komersialkan bakat intelektual pula kali ini. Biarlah kita lahirkan pula warga-warga yang cintakan ilmu pengetahuan. Biarlah kita kurangkan bahagian hiburan dan naikkan kembali integriti dan tahap pemikiran tinggi dalam generasi baru.


No comments:

Let's Interact!

me>