23 April 2013

Detik-Detik PRU Menghampir.


Tinggal kurang dari 2 minggu sebelum PRU ke-13 akan berlangsung menandakan hari contribution dan pilihan masyarakat di Malaysia ini dalam menentukan jenis dan bentuk pentadbiran mana yang mereka inginkan terhadap negara tercinta ini. Detik-detik inilah dimana kita dapat lihat parti-parti bertungkus-lumus dalam menabur janji progress dan arah masa depan negara kepada masyarakat supaya mereka dapat membuat pilihan yang tepat.

Siapakah yang akan menang dan siapakah yang akan kalah?

Adakah ini merupakan detik dimana teori "RAHMAN" berakhir dan semangat arus pembaharuan akan muncul? Atau adakah ia merupakan satu lagi kejayaan sebuah parti yang terus memimpin negara selama lebih separuh abad ini ke arah transformasi untuk menaikkan negara? Itu pilihan anda.

Tolak politik ke tepi dahulu. Mari fokuskan terhadap masyarakat negara ini yang berbilang kaum dahulu. Tidak kira anda penyokong yang mana, dan apa jua pegangan anda, sudah pasti semua inginkan keamanan dan kestabilan di Malaysia. Kita tidak mahu hidup dalam keadaan huru-hara. Masyarakat berpuak-puak. Pertumpahan darah disebabkan perbezaan warna kulit dan agama. Kita tidak mahu semua itu.

Kita mahukan satu persamaan dalam menjalani kehidupan kita. Kita mahukan walau apa jua bangsa kita, atau agama, bersatu dan pandang ke arah masa depan yang cerah dan indah. Kita mahukan satu formula supaya tiada persengketaan antara masyarakat dan saling hormat-menghormati supaya maruah dan jati diri kita terpelihara. Kita tidak ingin dijajah. Kita tidak ingin berpecah belah.

Kita tidak mahu oleh kerana satu bentuk pemikiran radikal, masyarakat yang berlainan fahaman menggangap mereka yang lain sebagai musuh. Kita mahukan kestabilan di mana semua pihak memahami kemahuan antara satu sama lain. Tiada yang berebut-rebut menjadi yang terhebat. Memimpin sebuah negara ini adalah amanah yang besar daripada Tuhan. Hal ehwal masyarakat yang ditanggung setiap seorangnya menjadi tanggungjawab sang pemerintah.

Kita tidak inginkan korupsi. Kita juga tidak ingin janji-janji manis sahaja. Kita mahukan satu sistem yang boleh dijalankan yang kena pada tempatnya dan tidak menyisihkan sesiapa. Kita tidak mahu negara kita menjadi miskin kerana apabila negara menjadi miskin nescaya peningkatan mobiliti kehidupan masyarakat juga akan menjadi sukar. Satu sistem yang saksama dan adil diperlukan. Ia mestilah satu sistem yang rasional. Bukan sekadar melaungkan fahaman dan ilmu politik tetapi menjadi racun dibelakangnya. Masyarakat kini sudah pandai dan boleh menilai.

Dalam dunia yang sungguh mencabar ini, fitnah bermaharajalela dan persepsi masyarakat mudah saja di-distort kan. Apa jua yang diutarakan oleh pemimpin atau ketua, senang-lenang sahaja dipercayai tanpa menyelidik terlebih dahulu segala logikal dan rasional tentang perkara yang disuarakan. Kita mahukan satu bentuk kerajaan yang telus dan jujur. Dan satu kerajaan yang sememangnya mampu membawa negara ke arah kemajuan tanpa membebankan rakyat. Bukan sekadar orang-orang yang gila kuasa menjatuhkan negara ke arah kemunduran. We need solid foundation yang menyatukan masyarakat. Jangan mengeksperimen negara...masyarakat yang rugi nanti.

Kita perlukan politik yang matang. Bukan jenis politik di mana si pemenang menjadi juara kerana menjatuhkan pihak lawan. Bukan kerana memfitnah pihak lawan. Bukan kerana sabotaj ataupun khianat pihak lawan. Negara ini memerlukan satu bentuk politik yang bersih di mana yang menang adalah kerana berpegang pada ideologinya. Dan masyarakat mengundi kerana rasa selesa dan tahu ideologi sebegitu yang sesuai kepada mereka.

Janji semua orang boleh janji. Teori, semua orang boleh bagi teori. Tapi yang kita inginkan adalah bukti progress dan pengotaan janji itu.

Sekarang pejam mata anda, fikirkan masa depan negara. Jangan letak anda di dalamnya, tapi letaklah anak-anak anda. Cuba bayangkan keadaan negara di masa hadapan. Cuba fikirkan, adakah anak-anak kita serta generasi seterusnya akan hidup aman atau tidak. Cuba bayangkan bagaimana ekonomi kita. Adakah keturunan selepas kita nanti hidup merempat atau maju. Adakah selamat apabila anak-anak kita berada di luar? Adakah mereka akan bahagia? Atau mereka akan merana?

Sesudah buka mata, pandanglah kertas undi di tangan. Undilah dengan baik.


No comments:

Let's Interact!

me>