04 April 2013

HERO



HERO
Cerpen mini oleh: Kufaz N. (April, 2013.)

   Petang itu sungguh indah dan tenteram. Suasana amat tenang dengan cuaca suam dan cerah. Ahmad yang sedang berlegar-legar di kawasan lorong mencari gerai-gerai ataupun restoren bagi mengisi perutnya yang rancak berbunyi. Beliau baru sahaja keluar dari butik pakaian untuk menempah baju. Majlis makan malam anjuran pejabat beliau bakal berlangsung tak lama lagi.

   Setelah mundar-mandir selama 15 minit, akhirnya beliau tiba di sebuah gerai yang terletak di ceruk lorong itu. Gerai itu biasa sahaja. Milik seorang india muslim. Barangkali kerana tidak tahan dengan kelaparan, Ahmad mengambil keputusan untuk makan di sana sahaja. "Roti canai dan teh tarik mamak pun sedap juga", ujar hatinya sendiri. Sampai sahaja di sana, beliau duduk dan memesan makanan yang dihajati. Selepas itu, beliau membiarkan mata beliau berlegar meniti pemandangan yang terdapat di sana. Pelbagai ragam manusia yang dapat dilihat. Ada yang asyik berjalan sambil bercakap di telefon bimbit, ada yang sedang berjalan sambil mengangkat beg plastik hasil beli-belah di pasaraya dan ada juga yang berjalan ke hulu hilir ibarat tanpa hala tuju.

   Sedang beliau asyik melihat ragam manusia, matanya terpaku pada seorang jejaka yang agak lusuh pakaiannya. Wajah jejaka tersebut pucat, ibarat sedang sakit. Tubuh badannya kurus keding menampakkan urat-urat di lengannya. Matanya sayu berkaca-kaca. Ahmad terus merenung ke arah jejaka itu. Jejaka itu berjalan perlahan-lahan dan pergi ke ruang dapur gerai tersebut. Beliau bercakap sesuatu kepada tauke gerai itu dan Ahmad hanya dapat melihat tauke tersebut mengeleng-gelengkan kepalanya. "Ah, barangkali penagih dadah yang dah nak mampus agaknya. Merugikan masyarakat je", detik hatinya.

   Selepas mendapat gelengan daripada tauke tersebut, jejaka tadi berjalan pula ke arah tempat makan pelanggan dengan wajah yang sedih. Ahmad yang berada tidak jauh daripada meja yang jejaka tadi berhenti dapat mendengar serba sedikit suara jejaka tersebut. "Abang... akak... mintak tolong derma.. Bantu la.. makan". Dan seperti masyarakat yang lain, permintaan jejaka tersebut disambut dengan lambaian "berambus" dalam cara yang halus oleh pelanggan di meja itu. Mata jejaka tadi menjadi semakin berkaca-kaca. Ibarat sedang menanggung beban yang sangat berat. Jejaka tersebut beralih pula ke meja Ahmad. Sedang beliau menuju ke arah Ahmad, tiba-tiba beliau mencapai bungkusan nasi lemak di atas meja sebelah dan terus melarikan diri.

   "Hoi!! Pencuri woi!!", teriak salah seorang pelanggan sambil menunding jari ke arah jejaka yang sedang berlari itu. Dan dengan pantasnya, tibalah sekumpulan manusia yang berdekatan mengejar jejaka tadi. Di dalam hati masing-masing, semua merasakan mereka adalah hero yang sedang menegakkan keadilan. Ahmad yang agak lambat bertindak mengikuti dari belakang. Tiba di satu jalan mati, jejaka tadi terperangkap. Dan biasalah, apabila sudah dicerkup oleh "rakyat-rakyat prihatin" tadi, beliau dibelasah teruk tanpa belas kasihan. Bukan setakat sepak terajang yang beliau hadapi, malah sumpah seranah juga menjadi habuannya. "Celaka kau mat pit! Pergi mampus lah!", "Orang macam kau ni sampah masyarakat kau tau tak!". Nasi lemak yang dicuri itu, habis berselerak di atas jalan. Tak cukup dengan itu, seorang daripada kumpulan tersebut memukul kepala jejaka itu dengan kayu yang dijumpai di atas jalan. Berdas-das hinggap di kepala jejaka itu. Lunyai.

   Ahmad yang baru tiba cuba meleraikan adegan itu dengan memeluk tubuh jejaka tersebut sambil merayu supaya "hukuman" itu dihentikan. Dalam proses itu, Ahmad juga terkena beberapa tumbukan dan sepakan yang tidak disengajakan. Barangkali sudah puas, kumpulan tadi pun berhenti. Ahmad melihat jejaka tersebut. Beliau dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Matanya berair dan bibirnya terketar-ketar. Sambil memandang mata Ahmad, jejaka itu menunjuk ke arah lorong yang gelap di depan sana sambil berkata,"Nya....nya..nyawa...ku". Dan itulah ayat yang dapat jejaka tadi dapat sampaikan sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Melihat keadaan itu, kumpulan tadi mula bersurai. Masing-masing ingin melepaskan diri. Masing-masing buat tak tahu.

   Ahmad terdiam. Ini kali pertama seseorang mati di atas pangkuannya. Beliau merasakan ada sesuatu yang ingin diamanahkan oleh jejaka tadi. Beliau letak jenazah itu di tepi dinding bangunan yang terdapat di sana dan berjalan menuju ke lorong yang gelap seperti yang telah ditunjuk. Di situ, beliau hanya dapat melihat satu kawasan yang kotor serta berbau busuk. Ia merupakan tempat pembuangan sampah. Longkang-longkang penuh jentik-jentik dan sampah bersemak samun. Ia merupakan suatu kawasan yang meloyakan. Beliau berjalan lagi sehinggalah tiba di satu tong sampah besar di sana. Beliau ternampak seorang budak perempuan yang kecil. Barangkali berumur 8 atau 9 tahun sedang memangku adiknya yang sedang tidur. Adiknya itu pula mungkin muda setahun dua daripada kakaknya. Kedua-duanya berwajah cengkung dan kusut masai. Di sebelah mereka terdapat beberapa keping surat khabar yang mungkin digunakan sebagai alas mereka tidur di sana.

   Ahmad cuba menghampiri kedua budak tidak berdosa itu. "Adik.....", Ahmad cuba menyapa. Si kakak berundur kebelakang ketakutan. Dalam keadaan janggal itu, tiba-tiba si adik yang tidur tadi terjaga. Matanya kuyu, menjelaskan lagi keadaannya yang tidak stabil. Si adik membuka mulutnya sambil terketar-ketar tidak bermaya berkata, "Ka...kak.. Mana a...ayah? A...a..adik lapar ni.. Lapar sangat..". Kakaknya pun menjawab, "Sabar dik... kejap lagi ayah balik lah... Kan ayah dah janji nak bawa balik makanan kan? Adik tahan sikit ye..". Seraya itu, mata Ahmad mulai berair. Beliau tidak mampu bersuara malah tubuhnya ibarat terpaku di situ.

   Nasib kedua anak kecil itu menjadi tidak menentu. Yang pasti, jika dibiarkan, keduanya yang setiap hari berkeadaan begini pasti semakin hanyut disepak terajang oleh arus kehidupan. Atau barangkali, selamanya mereka akan menunggu ayahnya membawa pulang makanan.

   Kita hidup di dalam suasana komuniti yang sedang maju membangun. Ideologi tidak stabil dan korup memewahkan lagi orang yang kaya walhal si miskin akan terus miskin. Siapakah kita untuk menjadi Tuhan dalam mengadili perilaku atau nasib seseorang? Siapakah kita untuk menunding perkara yang tidak baik kepada golongan yang tidak satu "taraf" dengan kita? Siapakah kita sebenarnya jika bukan satu darah dengan manusia sejagat yang lain? Mengapa kita sanjung orang yang bertaraf tinggi dan menghina kelas bawahan? Di dalam konteks pemikiran begini, cuba kita renung balik dan hayati dalam-dalam.....siapakah sebenarnya hero dan siapakah yang sebenarnya yang jahat?

No comments:

Let's Interact!

me>