Tajuk entry kali ni aku ambil daripada sebuah filem yang berkisarkan kisah hidup seorang papa kedana yang akhirnya menjadi billionaire bernama Chris Gardner. Kisah beliau sangat sedih dan menginspirasikan ramai jiwa yang patah di luar sana untuk berdiri setelah jatuh dan tidak berputus asa dalam mengejar kebahagiaan hidup. Sungguh membakar semangat jika anda melihat filem tersebut.“The world is your oyster. It's up to you to find the pearls.”― Chris Gardner, The Pursuit of Happyness.
Bahagia. Ye, kebahagiaan yang manusia kejari selama ini. Apakah ia sebenarnya? Adakah ia mempunyai rumah besar, kereta besar dan karier yang utuh menjadi garis panduan tahap kebahagiaan yang sebenarnya? Hm.. aku rasa tidak. Bagi aku, bahagia itu adalah apa yang kita selesakan dan cintai yang membuatkan kita tenang dan merasa nikmat menjalani hidup ini. Kereta dan rumah besar serta mempunyai duit yang banyak hanyalah satu permainan hidup yang kita sendiri ingin percaya bahawa ia memberi kita erti kebahagiaan.
Of course, aku percaya yang duit tidak boleh membeli kebahagiaan. Tapi duit memungkinkan kita untuk menikmati bahagia. But first, the main factor of happiness, is in ourself. Apa yang buat kita rasa bahagia. Apa yang hati kita sendiri mahukan.
Aku dulu pernah mengikuti satu ekspidisi melawat orang asli sewaktu belajar di universiti dahulu. Sebagai orang bandar, aku selalu melabel mereka yang hidup di hulu hutan ni sebagai "orang yang susah". Ternyata aku silap. Aku pernah tanya pada mereka, apakah mereka tidak ingin merasa nikmat seperti orang-orang bandar atau pekan macam aku ni dalam hidup mereka. Apa yang ada dalam hutan selain nyamuk, becak sana sini, tiada pengangkutan awam, hospital jauh, tiada kemudahan internet, elektrik pun kadang-kala tiada dan sebagainya. Dan jawapan mereka menyedarkan aku.
"Apakah makna bahagia pada kamu? Adakah dengan mempunyai mobil (kereta) yang cantik, rumah yang besar dan kemudahan-kemudahan lain yang buat kamu ukurnya sebagai kebahagiaan? Kamu mungkin nampak kami seperti daif tetapi mata kamu menipu kamu sebenarnya. Di antara kamu dan kami, jelas bahawa kami lebih kaya daripada kamu."
Aku tidak faham pada mulanya, lantas beliau pun terangkan lebih lanjut.
"Iya.. kami tidak punyai apa yang kamu ada di bandar sana tetapi kami jauh lebih bahagia daripada kamu. Kamu mempunyai mobil, rumah dan segala kemudahan air dan letrik. Tapi kamu tertekan dengan desakan bil dan hutang yang kamu terpaksa keluarkan di hujung bulan. Walhal kami di sini menggunakan kaki kami untuk ke sana sini. Kamu berbangga dengan lampu-lampu dan air yang dibekalkan kepada kamu, tetapi kami bahagia melihat kelip-kelip dan bintang-bintang yang belum tentu ada di langit kamu. Air kami segar setiap hari kerana dari sumber semulajadi tidak seperti kamu yang minum hasil penyulingan dan penapisan air dari buangan orang kamu juga (loji)."
Aku mula termenung sebelum beliau menambah.
"Kamu makan tumbuhan dan daging yang kamu beli di pasaraya. Kadangkala makanan itu sudah pun lama dan disimpan sahaja di peti ais. Kami pula di sini makan sesuatu yang kami petik sendiri. Yang kami buru sendiri. Dan ia jelas ternyata kami makan makanan yang jauh lebih segar daripada kamu. Kami menjalankan kehidupan kami dengan tenang di sini. Tiada gangguan, dekat pada alam serta tiada kekacauan di kelompok kami tetapi kamu setiap hari dicabuli ketenangan kamu dengan bunyi bising, sesakan lalu lintas, hutang sana sini dan pening kepala untuk menyelesaikan masalah kamu. Jadi saudara, sepatutnya saya yang bertanyakan kepada kamu bagaimana kamu boleh merasa bahagia dan tenang di dunia kamu."
Aku telan semuanya dan berfikir sejenak. Memang benar apa dikatakan oleh beliau. Kita semua hanya berfikiran dan memandang apa yang kita ada sebagai sesuatu yang boleh membuat kita berasa bahagia. Tetapi kita silap. Bukan itu sebenarnya yang patut kita tengok dalam mendefinasi erti sebenar kebahagiaan itu. Ia tentang apa yang kita ada dan syukur di atas segalanya.
Orang-orang kita suka mengukur dan membandingkan diri dengan orang lain sehingga dihujung perlumbaan itu, diri sendiri juga yang keliru. Orang lain ada rumah besar, kita pun nak rumah besar. Orang lain pergi Paris, kita pun nak pergi Paris. Orang lain ada jam tangan mahal, kita pun nak jugak. In the end, kita akan realise yang itu bukan seperti apa yang kita mahukan. Kita hanya ingin hidup di atas tema keriakan sehingga kita melacuri erti kebahagiaan yang sebenar.
Kita patut mensyukuri apa yang kita ada. Kerana dengan itu kita akan berasa bahagia. Ye, kita perlu majukan diri tetapi jangan kerana itu juga kita terperangkap dalam permainan hidup kita sendiri.
Selamat berbahagia semua.
p/s: Kita just takleh samakan orang lain dengan kita. Masing-masing mempunyai pandangan berlainan.
No comments:
Post a Comment