Pernah tak korang baca artikel aku mengenai Malaysian Psycho? Ye.. inilah salah satu bukti yang menunjukkan betapa orang kita sekarang ini semakin lama semakin kejam. Kejadian ni terjadi dalam sebuah bank yang rata-ratanya dilindungi oleh para pegawai keselamatan. Bagaimana pula jika pagar yang diharap, pagar yang makan padi?
Bayangkan la orang yang disuruh untuk melindungi pegawai yang membuka bilik kebal sendiri yang membuat dajal di situ? Bukan setakat nak merompak je, tapi siap membunuh sekali. Tak berhati perut langsung. Mangsa yang terkena tembak di kepala itu meninggal di tempat kejadian. Umur Allahyarhamah baru je 37 tahun. Tak fikir ke dia ada keluarga ke, ada anak ke dan ada tanggungjawab?
Bodoh nak mampus. Fikirlah... walau apa pun alasan nak merompak, tapi still ia adalah satu kesalahan dan dosa. Banyak cara lain yang boleh dibuat untuk menyelesaikan masalah. Bukan dengan merompak dan membunuh orang yang tidak bersalah.
Orang-orang macam ni tak sepatutnya dibiarkan sahaja di luar sana. Patut di humban ke dalam penjara seumur hidup. Better jika dia dihukum gantung sampai mati kerana tangan beliau yang telah membunuh sorang yang tidak bersalah. Yang cuma bertugas untuk mencari rezeki.
Aku harap polis dan masyarakat dapat mencari pembunuh ini. Dan bawa ke muka pengadilan.
Dan aku harap juga supaya undang-undang diperketatkan lagi supaya jenayah seperti ini tidak berulang lagi. Kesian aku tengok.. saban hari, semakin ramai orang yang tidak bersalah terbunuh di tangan orang yang berperangai setan sebegini.
Al-Fatihah kepada mangsa. Semoga keluarganya tabah menghadapi dugaan ini dan semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang beriman.
p/s: Di bawah merupakan video CCTV dan rujukan laporan mengenai kisah ini.
Disclaimer: Tujuan video ini dipost bukanlah berniat untuk menjatuhkan maruah mangsa. Tetapi bagi tunjukkan bukti betapa kejam si pembunuh dan atas rasa geram dan marah terhadap syaitan ini. Sekian.
SUBANG JAYA 23 Okt. - Seorang pegawai operasi AmBank maut akibat ditembak dari jarak dekat di bahagian kepalanya oleh pengawal keselamatan bank sendiri dalam rompakan di premis tersebut di Jalan USJ Sentral 2 di sini petang ini.
Kejadian berlaku pukul 6.18 petang ketika mangsa, Norazita Abu Talib, 37, bersama suspek serta empat lagi kakitangan sedang membuka sebuah peti besi berisi wang sebelum suspek tiba-tiba melepaskan tembakan sejurus pintunya dibuka.
Tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun itu tepat mengenai muka Norazita mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, suspek dikenali sebagai Ardi Hamza dan berasal dari Sabah itu kemudian mengambil sejumlah wang dan memasukkannya ke dalam sebuah beg berwarna hitam yang dibawanya.
"Dia kemudian keluar menerusi pintu hadapan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.
Abdul Rahim seterusnya memberitahu, polis kini memburu suspek yang dianggap kejam dan berbahaya itu kerana turut melarikan senjata api berkenaan.
"Kita telah mengenal pasti identiti suspek tetapi apabila diperiksa kad pengenalannya, dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Abdul Rahim memberitahu, pihaknya menyiasat sekiranya suspek berkemungkinan warga asing yang menggunakan kad pengenalan palsu.
"Sebenarnya suspek berkhidmat di Bank Muamalat yang terletak bersebelahan AmBank dan merupakan pengawal gantian di bank itu hari ini.
"Kami telah mendapatkan maklumat dari syarikat keselamatan dan mereka memberitahu, suspek telah bekerja sebagai pengawal selama setahun dan telah bertugas di pelbagai bank," katanya.
Sementara itu, mangsa difahamkan telah 16 tahun bekerja di bank berkenaan dan mempunyai sepasang cahaya mata.
Sumber : Utusan