25 November 2013

Panduan Untuk Usahawan Bisnes Kecil-Kecilan


Panduan Untuk Usahawan Bisnes Kecil-Kecilan

Semua usahawan yang telah berjaya dan mencipta nama bermula dengan bisnes kecil-kecilan. Daripada perniagaan kecil inilah anda akan mempelajari banyak perkara tentang bisnes. Jadi janganlah berasa rendah diri jika anda baru berjinak-jinak berniaga tudung melalui online mahu pun berjualan di pasar malam.

Biar pun sekadar terbabit dengan bisnes kecil namun untuk ia berjaya anda perlukan persediaan ilmu. Minggu ini untuk anda yang baru belajar berniaga, ada panduan untuk anda.

1. Bersedia untuk gagal.

• Bukanlah mendoakan ataupun mengharapkan perniagaan yang bakal dibina itu menempuh kegagalan tapi satu peringatan kepada diri bahawa untuk berjaya sebagai peniaga bukanlah sesuatu yang mudah. Apabila anda bersedia gagal sebenarnya anda sedang menolak kegagalan itu daripada berlaku. Tetapi apabila anda melupakan bahawa dalam perniagaan kegagalan itu sangat hampir, anda sebenarnya sedang menuju ke arah kegagalan itu sendiri. Maksud tersirat bersedia untuk gagal sebagai motivasi dan peringatan kepada diri bahawa kegagalan tidak boleh berlaku dalam perjalanan perniagaan anda.

2. Merancang dengan baik.

• Anda harus ingat bahawa pelan perniagaan adalah asas bagi permulaan perniagaan. Ia perlu termasuk dalam perniagaan secara kecil-kecilan. Pelan perniagaan itu harus ada untuk memudahkan anda melihat sejauh mana pencapaian yang perlu dicapai dan apa yang perlu dilakukan untuk memastikan perniagaan anda beralih ke setapak lagi kemajuan. Jika tiada pelan perniagaan maka tidak mustahil perniagaan anda akan berada dalam skala sama untuk beberapa tahun tanpa ada kemajuan dan sebagainya. Sebenarnya, sebuah pelan perniagaan akan mempengaruhi pengusaha atau pemilik perniagaan untuk berfikir tentang keseluruhan operasi dan mencapai kata sepakat mengenai kekuatan dan kelemahan perniagaan itu.


3. Bajet tidak mencukupi.

• Ini antara masalah kepada mereka yang mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan. Masalah bajet sentiasa menjadi kekangan untuk bergerak dengan lebih jauh dan pantas. Tetapi ia boleh diatasi dengan cara berbelanja mengikut kemampuan syarikat. Mungkin apa-apa yang tidak diperlukan lagi oleh perniagaan itu, anda tidak perlu membelinya terlebih dahulu. Berikan perhatian kepada perkara yang lebih penting contohnya bajet untuk bahan mentah, tenaga pekerja dan sedikit untuk tujuan promosi dan pemasaran.

4. Pentingnya iklan.

• Pelbagai cara telah anda lakukan tetapi tahap jualan masih belum meningkat. Anda juga telah menawarkan harga berpatutan tetapi jualan masih pada tahap biasa. Tidak tahu di mana silapnya. Hanya satu perkara yang boleh membantu anda iaitu iklan. Iklan adalah cara terbaik untuk menguar-uarkan perniagaan anda dan memberitahu pasaran mengenai produk yang anda miliki. Percaya atau tidak, untuk tujuan iklan anda perlu memperuntukkan sedikit wang. Ia berbaloi kerana selepas semua orang tahu mengenai perniagaan anda tidak mustahil hasil jualan akan meningkat mendadak. Jika anda tidak tahu mengenai iklan dan pemasaran, elok bertanya ataupun mengupah mereka yang tahu mengenainya untuk melakukan bagi pihak anda.

5. Sabar.

• Faktor utama untuk mewujudkan sesuatu aura positif dan seterusnya mencapai kejayaan ialah kesabaran. Bersabarlah dan jangan terburu-buru untuk berjaya. Dengan nilai-nilai yang tepat kejayaan pasti diperoleh. Bersabar dengan setiap ujian dan cabaran yang diberikan pasti akan membuahkan kejayaan. Di samping itu, sikap sabar juga menjadikan anda seorang yang tenang dalam menghadapi apa-apa sahaja perkara mendatang. Sama ada perkara baik ataupun sebaliknya. Selain itu sabarlah untuk meneruskan perniagaan kecil-kecilan. Mana tahu satu hari nanti ia akan menjadi sebuah perniagaan berskala besar.


No comments:

Let's Interact!

me>