13 January 2014

Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan.... Sudut Perspektif Kiri Masyarakat.


Orang kita dibesarkan dalam keindahan bahasa yang sangat jitu. Antaranya adalah peribahasa, "jauh perjalanan, luas pemandangan". Keindahan ini diterapkan dalam sanubari masyarakat kita sehingga menjadi pegangan.

Peribahasa tersebut bermaksud, lebih jauh kita berjalan, lagi banyak pengalaman dan pengajaran yang dapat kita garap. Ia amat baik dan aku setuju apabila perjalanan jauh yang kita lalui itu membuahkan satu pengalaman yang baik dan menjadikan kita insan yang lebih baik daripada duduk di bawah kelompok tertentu sahaja. Untuk membuka mata dan minda. Lebih-lebih lagi jika melibatkan ilmu yang dipelajari sepanjang perjalanan.

Namun, terdapat juga kontranya apabila peribahasa ini disalah praktiskan. Orang kita ni kadang-kala cepat naik riak dan melupakan tanah yang dipijak. Sampai ia boleh dijadikan modal untuk orang bercerita dan gossip.

"Ko apa tau, ko tu belajar sekolah pondok je... lain la macam aku belajar sampai Australia. Ko tak layak bersembang dengan aku!"

"Apa nak jadi dengan anak ko ni Jah? Menoreh getah je kerjanya. Tengok anak aku tu, dah jadi pengurus besar kat kolumpo tu"

"Maaflah abang Leman... Wati tak boleh nak terima abang. Wati dah ada calon sendiri... Dia kerja kat bandar dan ada rumah besar. Wati taknak hidup dengan seorang petani."

Dialog-dialog di atas sebenarnya bukanlah sekadar drama-drama di televisyen sahaja. Ia adalah sebuah realiti yang terjadi di dalam masyarakat kita. Orang kita ni tak boleh berada di atas sangat sebab nanti terlupa di mana tanah tumpah darahnya sendiri. Sehingga pernah terdapat kes anak membuang mak bapak kerana merasa malu dengan kedudukan mereka di kampung dan juga tiada taraf 'kelas' untuk mereka.

Kita perlu ingat bahawa setiap yang terjadi, sudah dirancang oleh yang Maha Esa dan ia adalah yang terbaik untuk diri setiap manusia. Tidak perlulah nak riak, takabur dan sombong. Kerana setiap rezeki itu sudah pun ditentukan. Jangalah meletakkan sebarang sempadan kelas atau jurang kerana ia akan memisahkan kita dengan asal usul kita.

Tak semestinya orang itu duduk di kampung mereka tiada maruah. Tak semestinya yang kerja sebagai petani, pekebun dan penoreh getah tu orang-orang yang susah. Tak semestinya yang duduk dibandar, belajar sampai ke luar negara dan berkerja melibatkan antarabangsa seorang yang boleh diharap dan suci. Kita cepat betul lupa bagaimana kita naik. Dan atas sebab itulah kita cepat jua turun.

So... cuba muhasabah diri tu. Setiap insan di dunia ni takkan dihukum berdasarkan darjat, pangkat atau rupa. Tetapi amalan yang akan diambil kira.

Tak payahlah nak berlagak beli Gucci di Italy semata-mata nak tunjuk anda dah berjalan jauh dan kaya. Perasaan riak tu sudah cukup untuk mencemarkan maruah anda. Perjalanan roh di akhiratlah perjalanan yang terjauh dan semua akan hadapi.



No comments:

Let's Interact!

me>