26 March 2014
Apa Yang Kita Dapat Pelajari Dari Tragedi MH370.
Akhirnya... selama hampir 3 minggu misi mencari pesawat MH370, akhirnya PM Najib Abd Razak mengumumkan bahawa perjalanan pesawat itu telah disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi. Ini berdasarkan data-data yang disediakan oleh beberapa agensi satelit luar negara yang sama-sama berusaha dalam mencari dan menyelesaikan misteri kehilangan pesawat itu. Tangisan serta kesayuan kedengaran di serata Malaysia dan juga China mengenai dugaan ini. Sayu dan hiba menjadi tema hari itu. Namun, PM kita cuma sahkan bahawa perjalanan ia berakhir di situ dan bukannya terhempas. Maka, tidak salah sekiranya kita masih menyimpan sedikit harapan bagi para penumpang. Dan kini mereka sedang giat mencari kotak hitam yang akan memberi segala jawapan kepada misteri ini.
Namun... selama 3 minggu ini, apakah yang dapat kita pelajari dari kejadian ini?
1. Hidup kita ini sungguh singkat.
Lihatlah wajah-wajah para penumpang dan krew yang menaiki MH370, kesemuanya masih lagi sihat dan barangkali sedang dalam perasaan teruja untuk ke Beijing sebelum musibah ini terjadi kepada mereka. Semua golongan umur berada di dalam pesawat itu. Ada yang tua, muda dan tak kurang juga yang masih bayi. Inilah buktinya bahawa takdir tuhan itu tidak terkecuali. Tak kira kita tua atau muda, ia akan juga menjemput kita bila-bila masa.
2. Khurafat
Lihat saja insiden Tok Bomoh yang dicemuh masyarakat. Bukan setakat di Malaysia, malah seluruh dunia mentertawakan aksi beliau sehingga memalukan negara kita ini. Negara kita sedang menuju ke arah negara maju namun, kita dapat lihat bahawa pemikiran orang-orang kita masih lagi di tahap kolot. Masih lagi percaya perkara khurafat.
3. Orang kita masih ada yang bodoh.
Ini khas kepada mereka-mereka yang sememangnya tidak sensitif perasaan orang lain lebih-lebih lagi terhadap keluarga dan rakan mangsa. Kita dapat lihat bagaimana post-post sampah yang mengguris hati sesiapa sahaja yang membacanya. Kadangkala tak dapat nak faham mereka ini samaada pernah bersekolah atau pun tidak. Serendah mana lagi tahap moral orang-orang kita sebenarnya?
4. Lahirnya pakar-pakar tahi anjing.
Entah mengapa, tiba-tiba sahaja negara kita ini dibanjiri oleh pakar-pakar yang kononnya dapat mengagak kejadian sebenar misteri ini. Mereka tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Agakkan mereka ini menjerumus kepada fitnah yang memakan minda sesiapa sahaja yang membacanya. Dan akhirnya mereka menjadi seseorang yang obses terhadap berita palsu, konspirasi, gossip dan khabar angin. Padahal ada di antara mereka itu, barangkali SPM pun tidak lepas.
5. Usaha menjatuhkan Malaysia.
Kita dapat lihat betapa agensi berita luar negara terutamanya CNN, BBC, Fox News dan sebagainya, ingin menjatuhkan imej negara kita. Mereka sebarkan fitnah betapa Malaysia ini lemah dan sarang pengganas kerana orang-orang kita ini ramai yang beragama Islam. Setiap satu berita mereka paparkan semuanya jelas mereka ingin menjatuhkan Malaysia dan membuat negara-negara lain membenci Malaysia yang lambat-laun pasti akan merenggangkan hubungan negara kita dengan negara luar.
6. Solidariti. .
Ye. Kita dapat lihat bagaimana masyarakat kita tidak putus-putus berdoa keselamatan pesawat ini. Kita nampak bersatu tidak kira pegangan agama, warna kulit dan fahaman politik. Kita semua bersatu-padu demi MH370. Kita semua manusia sebenarnya. Dan orang-orang kita baik cuma dipisahkan oleh ideologi politik masing-masing. Sedih sangat kerana ia memerlukan tragedi untuk menyatu-padukan kita semua. Kenapalah kita tidak boleh bersatu-padu sebegini selalu?
Ketahuilah bahawa segalanya adalah milik yang-Esa. Dialah pencipta segalanya. Kita wajib tunduk dan tidak riak dengan apa yang ada kerana nikmat-nikmat itu boleh ditarik kembali bila-bila masa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment